Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Sunday 27 October 2013

Malaysia didesak iktiraf kebebasan beragama, LGBT


Azril Mohd. Amin (dua dari kiri), Zainul Rijal Abu Bakar (tengah) dan Nasharudin Mat Isa (dua dari kanan) ketika menghadiri sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) sempena Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, kelmarin.

KUALA LUMPUR 25 Okt. - Laporan Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) dijadikan asas oleh beberapa negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mendesak Malaysia mengiktiraf hak kebebasan beragama dan amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Ketua Delegasi Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPro) ke Geneva, Switzerland, Azril Mohd. Amin berkata, negara-negara terbabit memberi tekanan kepada Malaysia untuk menandatangani Perjanjian Antarabangsa Tentang Hak-Hak Awam dan Politik (ICCPR).

Menurut beliau, desakan itu amat membimbangkan kerana Artikel 18 ICCPR adalah berkaitan dengan hak kebebasan beragama dan perlu dibaca dengan Artikel 18 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) yang mentakrifkan seseorang individu bebas meninggalkan agamanya.

"Slovakia, Ukraine, Belanda, Australia, Hungary, Jepun, Switzerland, Sierra Leone, Slovakia dan Palestin menuntut Malaysia menandatangani ICCPR.

"Iran pula secara khusus mencadangkan agar Malaysia menghapuskan diskriminasi terhadap penganut agama minoriti," katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia hari ini.

Azril mengulas tentang hasil pemantauan MuslimUPro pada sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) ke atas Malaysia oleh Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva semalam.

Para anggota delegasi MuslimUPro yang turut hadir ialah Pengerusi Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar; Pengerusi Yayasan Nassar, Nasharudin Mat Isa; Presiden Institut Kajian Islam dan Strategik (ISSI), Dr. Yusri Mohamad dan Timbalan Presiden PPMM, Abdul Rahim Sinwan.

Sesi UPR ke atas Malaysia dipengerusikan oleh Naib Presiden Majlis Hak Asasi Manusia PBB, Iruthisham Adam dari Maldives manakala Malaysia diwakili Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Ho May Yong.

Draf laporan sesi UPR tersebut akan diedarkan pada 28 Oktober ini.

Azril menambah, isu LGBT pula dibahaskan oleh wakil-wakil dari Austria, Belgium, Perancis, Jerman, Belanda dan Croatia.

"Mereka menyarankan agar Malaysia menghapuskan undang-undang berkaitan jenayah liwat sebagai saluran menjamin kebebasan hak-hak golongan LGBT," ujarnya.

Beliau memberitahu, saranan-saranan yang dikemukakan negara-negara berkenaan kepada Malaysia adalah konsisten dengan tuntutan-tuntutan yang dikemukakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro-LGBT di Malaysia dan beberapa negara lain.

"Maka, adalah tidak benar seperti dakwaan media propembangkang yang memutarbelit fakta bahawa isu-isu tersebut tidak relevan dan tidak disebut secara meluas pada sesi UPR," katanya.

Beliau menegaskan, laporan Comango yang menjadi sebahagian asas pembentangan pada sesi UPR adalah tidak bertanggungjawab kerana mengemukakan tuntutan-tuntutan yang tidak menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131026/dn_24/Malaysia-didesak-iktiraf-kebebasan-beragama-LGBT#ixzz2ivfHwO8d 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Versi tradisional Imperial March

MUZIK Imperial March karya John Williams sukar untuk dipisahkan jika berbicara tentang filem Star Wars.
Lagu yang pertama kali didengarkan pada episod The Empire Strikes Back itu kerap dimainkan bagi mengiringi kemunculan Darth Vader.

Justeru bagi memastikan persembahan wayang kulit Peperangan Bintang tidak ketinggalan aspek tersebut, lagu Imperial March versi tradisional telah dihasilkan dan tugas itu diberikan kepada Ahmad Azrai Abdul Halim, 38.

Selepas menerima tawaran Chuo Yuan Ping bagi menghasilkan lagu Tema Vader, tugas pertama dilakukan Azrai adalah mengaturkan pertemuan bersama pemuzik tradisional Galeri Wayang Kulit Melayu Tradisional Kelantan.

Proses penyusunan bahagian-bahagian lagu Imperial March kemudiannya dilakukan, sebelum pemain serunai mula berlatih mengikut nada yang ditetapkan.

Beberapa penyusunan semula dilakukan bagi mendapatkan hasil nada yang bersesuaian dengan lagu asal.
Menurut Azrai, cabaran besar adalah mendapatkan keserasian antara pemain serunai dan lagu yang dimainkan.

"Pemain serunai juga buntu ketika cuba memainkan bahagian bernada tinggi Imperial March kerana kekurangan jumlah lubang bunyi.

"Mujur nada utama lagu Imperial March dapat dimainkan dan nada itu merupakan bunyi yang memang dikenali oleh peminat filem Star Wars," katanya,

Katanya, cabaran lain dalam menghasilkan lagu tema berkenaan adalah bilangan alat-alat muzik yang biasa digunakan untuk persembahan wayang kulit sangat terhad.

Alat muzik itu hanya gong, kedut, kesi, kedumbar, canang dan serunai.

Daripada alat muzik itu hanya serunai boleh menghasilkan bermacam nada tetapi tidak tetap.

"Serunai mempunyai jumlah lubang bunyi yang terhad, bukan semua nada yang boleh diperolehi.
"Disebabkan itu, banyak lagu, seperti lagu tema utama Star Wars dan Luke Skywalker, tidak dapat dihasilkan, buat masa ini," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131026/re_07/Versi-tradisional-Imperial-March#ixzz2iveIAKTH 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Perubahan tidak jejas tradisi


RAHIMIDIN Zahari yakin Peperangan Bintang mampu memberikan kelainan bagi menaikkan kembali populariti persembahan wayang kulit.

PERUBAHAN drastik dari segi cerita dan watak tidak akan menjejaskan keaslian atau keunikan seni persembahan wayang kulit. Pengurus Panggung Istana Budaya, Rahimidin Zahari, 45, berkata, sebenarnya banyak cerita-cerita asing telah dimasukkan ke dalam persembahan wayang kulit sebelum ini.

Lagipun katanya, setiap dalang mempunyai kisah mereka yang tersendiri.

"Cerita yang dibawa oleh Dalang Dollah Baju Merah bertajuk Perbu Anum Guru Pati Tombak Kencana sama sekali berbeza dengan cerita asal persembahan wayang kulit.

"Ada watak yang ditambah, namun masih menggunakan patung yang sama, begitu juga yang dibawa oleh Peperangan Bintang," katanya.

Teknik penceritaan Peperangan Bintang dilihat menggabungkan beberapa ciri tradisional seperti penggunaan alat muzik, bentuk patung mahupun konsep pentas persembahan yang masih menggunakan kelir putih sebagai layar utama.

Menurutnya, perubahan teknik penceritaan yang dibawa dalam wayang kulit Peperangan Bintang tidak menjadi masalah dari segi budaya dan tradisi.

Katanya, ketukan bunyi gedombak dan gelagat dalang mengawal patung wayang kulit tidak akan terpadam meskipun tokoh-tokoh wayang kulit seperti Pak Hamzah, Dolah Berbaju Merah dan ramai lagi sudah meninggal dunia.

"Wayang Kulit tertua di dunia berasal dari Turki iaitu Karagoz dan tradisi tersebut masih bertahan sehingga hari ini dan masih dipersembahkan dalam skala besar malah diberi perhatian secara khusus oleh masyarakat di sana.

"Perkara yang sama harus dilakukan di Malaysia. Wayang kulit moden yang dibawa Muhammad Dain Othman atau Pak Dain dilihat sebagai usaha positif dalam menghidupkan semula tradisi yang telah lama bertapak di Malaysia," katanya kepada S2.

Menyentuh tentang kemungkinan persembahan tersebut mencemarkan keaslian wayang kulit, Rahimidin berkata, hal itu tidak berlaku dan dia menyokong pementasan Peperangan Bintang.

"Mungkin dahulu, masyarakat menganggap epik Sri Rama sebagai satu tradisi zaman dahulu, seperti pakaian, senjata, kenderaan serta perwatakan yang dibawa.

"Namun mungkin 100 tahun akan datang, umum akan menganggap konsep yang dibawakan dalam Peperangan Bintang sebagai satu bentuk tradisi.

"Adalah menjadi tanggungjawab dalang untuk menjaga keaslian cerita pokok wayang kulit supaya tidak bercampur dan mengelirukan penonton," kata Rahimidin yang pernah merakamkan transkrip cerita dalang terkenal Kelantan, Dollah Baju Merah dalam bentuk buku.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131026/re_06/Perubahan-tidak-jejas-tradisi#ixzz2ivdsJdGD 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ikon baharu wayang kulit

MINAT mendalam terhadap seni penciptaan watak dan wayang kulit mendorong Chuo Yuan Ping,40, menggabungkan tradisi watak wayang kulit dengan elemen filem sains fiksyen Star Wars.

Menurut beliau, di peringkat awal penghasilan dua watak utama tersebut iaitu Sangkala Vadeh dan Perantau Langit, terdapat beberapa kesilapan dari segi elemen yang diterapkan terhadap konsep patung tersebut.

"Selepas dihasilkan, beberapa perbezaan dikesan seperti bentuk patung yang dihasilkan lebih merujuk kepada watak wayang kulit Siam,

"Kemudian, saya terus merujuk kepada Perbadanan Kraftangan Malaysia dan di situ saya membeli sebuah buku berkenaan wayang kulit Malaysia yang ditulis oleh Muhammad Dain Othman atau Pak Dain sendiri,".

Menurut beliau, peranan rakannya, Teh Take Huat banyak membantu beliau dalam menyiapkan perincian watak Peperangan Bintang.

"Ketika itu, kebanyakan syarikat pencetakan menolak permintaan kami, namun seorang rakan bersetuju untuk membantu mencetak watak-watak tersebut menggunakan kepingan plastik di kilang miliknya.

"Rekaan tersebut dipotong menggunakan laser, watak Sangkala Vadeh sahaja mengambil masa hampir lima jam untuk dihasilkan," katanya kepada S2.

Pada tahun 2007, patung Sangkala Vadeh dan Perantau Langit dibawa ke beberapa pameran sekitar ibu negara.

Patung hasil ciptaan Yuan Ping dan Take Huat tersebut mendapat sambutan positif pelbagai pihak dan dijual pada harga yang sangat tinggi.

"Selepas patung tersebut dijual, saya mula mencari idea untuk mementaskan sebuah persembahan wayang kulit versi Star Wars dan mula mencari dalang yang sanggup mempersembahkan idea tersebut,"

"Saya berasa terharu apabila dihubungi sendiri oleh Pak Dain yang menyatakan hasratnya untuk melihat rekaan patung tersebut," katanya.

Rekaan patung tersebut kemudiannya dibawa ke Kelantan di mana Pak Dain bersama pengukirnya menambah beberapa aspek terhadap patung tersebut dan kemudiannya dihasilkan secara manual oleh pengukir.

"Cabaran yang dihadapi adalah dalam mencari keseimbangan dalam gabungan elemen Barat dan wayang kulit Malaysia. Antaranya ketika penghasilan watak R2 , wajah Perantau Langit dan Sangkala Vedeh.

"Ketika ini, khidmat Pak Dain dan para pengukir sebagai orang yang lebih arif ditagih dalam menyempurnakan rekaan patung tersebut," katanya.

Peperangan Bintang bukan sahaja mendapat sokongan daripada Kelab Peminat Star Wars Malaysia (SWMFC), malahan turut mendapat persetujuan Lucas Film untuk dipersembahkan kepada umum.

"Ini adalah tugas saya untuk memartabatkan seni, budaya dan tradisi yang kian dikikis kemodenan," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131026/re_05/Ikon-baharu-wayang-kulit#ixzz2ivdXmPRz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Apabila Skywalker ganti Sri Rama

Arkib : 27 Oktober 2013

WAYANG kulit sinonim dengan watak Sri Rama dan Sri Dewi. Namun apa akan terjadi jika ia bertukar kepada Darth Vader atau Anakin Skywalker dalam siri fiksyen Star Wars?

Ia bukan mustahil kerana baru-baru ini di dewan Hotel De Palma Ampang dipentaskan pertunjukan wayang kulit versi Star Wars atau dikenali sebagai Peperangan Bintang.

Digerakkan oleh tok dalang, Muhammad Dain Othman atau Pak Zain, persembahan selama dua jam itu disaksikan hampir 1,000 penonton.

Dengan susun atur yang tidak banyak beza persembahan wayang kulit tradisional, keseronokan bermula apabila tok dalang membacakan ucap tetap dan layar bertukar menjadi awan merah.

Aksi bermula dengan adegan kapal Sangkala Vadeh (Darth Vader) mengejar kapal Tuan Puteri Leia (Princess Leia).

Dari situ, elemen suspen dan aksi berjaya digarap dengan berkesan oleh tok dalang meskipun disampaikan dalam dialek Kelantan

Keterujaan penonton dapat dilihat apabila mula bertepuk tangan dan ada yang berdiri untuk melihat lebih dekat persembahan wayang kulit Peperangan Bintang itu.

Gabungan kesan khas dan alunan lagu tema yang disampaikan menggunakan alat muzik tradisional menambahkan lagi keghairahan penonton termasuk dari luar negara yang sanggup datang untuk menonton previu pertama tersebut.

Teknik penceritaan Pak Dain yang juga merupakan tok dalang generasi ke-13 itu berjaya menarik minat penonton apabila beliau sesekali memasukkan elemen lucu ketika menjiwai watak yang dimainkan.
Persembahan previu pertama itu meninggalkan penonton dengan pelbagai persoalan yang akan dijawab dalam persembahan selanjutnya selepas ini.

Ringkasnya, Peperangan Bintang mengisahkan perjalanan watak protagonis Perantau Langit (Anakin Skywalker), Tuan Puteri Leia dan Si P Long (C-3PO) menentang watak antagonis, Sangkala Vadeh.
Selain Pak Dain, ilham mementaskan wayang kulit versi Star Wars itu dicetuskan pereka grafik yang juga pemilik syarikat animasi, Action Tintoy, Chuo Yuan Ping, 40.

Pak Dain berkata, beliau mengambil masa selama dua bulan untuk berlatih dan memahirkan diri dengan semua watak dalam filem tersebut.

"Pada mulanya, rasa takut dan gementar memang ada kerana persembahan ini lain daripada lain.
"Namun, apabila mendengar tepukan gemuruh daripada penonton ketika ucap tetap dan watak utama mula diperkenalkan, rasa tersebut hilang sama sekali," ujarnya yang juga merupakan Ketua Pasukan Wayang Kulit Melayu Tradisional Kelantan.

Menurutnya, tempoh dua bulan juga digunakan untuk memahirkan diri dengan nada suara bagi setiap watak.
"Bagi memudahkan tugas itu saya menonton filem berkenaan berulang kali. Suara garau Sangkala Vadeh berjaya saya hasilkan tetapi bunyi pernafasan Sangkala Vadeh tidak dapat dihasilkan dan ditukar kepada bentuk audio visual," ujarnya.

Pak Dain berkata, dia membuat beberapa penelitian sebelum bersetuju menjayakan pementasan itu.
"Peperangan Bintang juga adalah lambang tanggungjawab saya sebagai dalang untuk terus menghidup dan mempopularkan wayang kulit.

"Kalau bukan kita, siapa lagi yang hendak meneruskan tradisi ini," katanya.

Beliau menambah, penggunaan projektor yang memancarkan kesan-kesan khas seperti latar belakang serta latar tempat, memudahkan penonton memahami cerita yang disampaikan.

Walaupun Peperangan Bintang sebuah persembahan wayang kulit yang 100 peratus lain berbanding sebelum ini, namun ia masih relevan kerana setiap cerita yang disampaikan oleh dalang adalah berbeza,'' katanya.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wayang kulit alaf ke-21


PERSEMBAHAN hiburan tradisional seperti menora, makyung, wayang kulit dan tari inai sinonim dengan budaya masyarakat di pantai timur. Kecuali wayang kulit yang masih hidup dan kerap dipentaskan, persembahan tradisional lain seolah-olah sudah berkubur.

Walaupun wayang kulit masih dipentaskan namun sambutan kepada hiburan berasaskan permainan bayang itu juga tidak sehebat dahulu.

Justeru pelbagai usaha dilakukan bagi mengangkat kembali persembahan berteraskan bayang, cahaya dan tukang karut atau dalang itu.

Antara usaha drastik adalah mengubah plot asal persembahan yang selama ini berkisar kepada perjalanan watak Sri Rama memenangi semula isterinya, Sri Dewi yang diculik Rawana kepada sebuah cerita sains fiksyen berteraskan filem terkenal Star Wars.

Idea kreatif dalang Muhammad Dain Othman, 61, dan rakannya, Chuo Yuan Ping, 41, itu jelas di luar kotak, namun mampukah ia memenangi kembali hati masyarakat, khususnya generasi muda menyaksikan wayang kulit.

Bagaimana ia dipersembahkan dan mampukah watak Darth Vader, Anakin Skywalker menandingi Sri Rama dan Sri Dewi yang sudah sebati dalam pemikiran peminat wayang kulit, hanya masa menentukannya.

Tidakkah usaha itu akan mencemar keaslian hiburan warisan yang telah berusia ratusan tahun?

Wartawan S2 MOHAMAD ARIFF MOHD. YUSOF bersama jurugambar ZAKARIA IDRIS dan MOHD NAIM AZIZ menyingkap kisah menarik di sebalik pembikinan dan kejayaan wayang kulit alaf 21 yang diberikan nama Peperangan Bintang, Harapan Baharu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131026/re_03/Wayang-kulit-alaf-ke-21#ixzz2ivcrrgBN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sekeping gambar temukan jodoh saya

MENCARI sesuatu yang hilang terkadang mengambil masa bertahun-tahun. Sukar untuk mengesan jejak-jejak yang terhakis oleh masa yang terlalu pantas meninggalkan kita sehingga terpaksa melupakan hasrat untuk menemuinya semula.

Putus harapan atau putus asa tidak sepatutnya dimiliki oleh seseorang manusia, sebaliknya kuatkan azam dan himpunkan kekuatan sebanyak yang mungkin dan berusaha untuk memiliki semula apa sahaja yang hilang.
Namun apabila membabitkan kehilangan orang tersayang, tentunya memerlukan masa yang lama untuk melupakannya. Tetapi berbekalkan keimanan, semua itu mampu diatasi.

Insya-Allah segalanya mungkin jika ada kemahuan dan berusaha untuk ke arah itu dengan izin Allah SWT.
Itulah sebahagian daripada mukadimah dalam kisah yang ingin saya kongsi dengan pembaca minggu ini. Kisah yang dikirimkan oleh Zamri (bukan nama sebenar) kepada saya memang jarang berlaku tetapi sebenarnya ia berlaku dalam kehidupan kita hari ini antara disedari atau tidak.

Kita ikuti kisah Zamri seterusnya untuk iktibar bersama.

"Saya seorang duda dalam lingkungan usia 40-an yang kematian isteri dalam satu nahas jalan raya tujuh tahun lalu. Sebagai seorang yang berkecimpung dalam dunia bisnes, tentunya saya mempunyai ramai kenalan yang terkadang saya tidak mengingati mereka.

"Saya sentiasa sibukkan diri kerana mahu melupakan tragedi yang menimpa keluarga saya terutama mengenangkan arwah isteri yang sangat saya cintai.

"Syukur saya masih mempunyai seorang zuriat yang kini di bawah jagaan ibu saya berusia 15 tahun. Selepas kematian isteri, saya langsung tidak terfikir untuk bernikah lagi.

"Pintu hati saya tertutup rapat untuk mana-mana perempuan kerana ingatan terhadap arwah isteri yang sangat mendalam dan merasakan sukar untuk mencari pengganti isteri yang terlalu banyak berkongsi susah senang dengan saya semasa hayatnya.

"Sehinggalah pada suatu hari, saya menerima suatu pesanan ringkas daripada seseorang yang mendakwa kenalan semasa kami menuntut di universiti luar negara.

"Disebabkan kesuntukan masa, saya tidak memenuhi permintaannya untuk berjumpa. Sehari selepas itu, saya masih lagi menerima pesanan ringkas yang sama sehingga akhirnya saya mengalah dan menjemputnya ke pejabat.

"Saya sengaja mengatur pertemuan kami di pejabat kerana tidak mahu terlibat dengan fitnah, maklumlah saya duda, dia saya tidak tahu pula sama ada telah berumah tangga atau masih solo.

"Dalam pada menunggu akhirnya saya dikejutkan dengan suara memberi salam. Maaf mengganggu En. Zamri. Nama saya Habsah ( bukan nama sebenar ), lembut suara itu menyapa.

"Saya terkejut seketika dan memandang wanita yang berada di hadapan saya tanpa berkedip. Saya mengenali encik sewaktu menghadiri suatu seminar yang diadakan sebulan yang lalu, sambungnya mengganggu lamunan saya seketika.

"Kita juga pernah menuntut di universiti yang sama, mungkin En. Zamri tidak mengenali saya, tapi saya masih ingat dengan En. Zamri, katanya bercerita.

"Saya biarkan sahaja Habsah berbicara dengan tutur katanya yang lemah lembut dan sopan itu kerana ingin mengetahui maksud sebenar hajatnya berjumpa saya.

"Selepas kematian isteri, En. Zamri tidak berkahwin lain kah? Di mana anak En. Zamri? Soalannya merimaskan saya. Lalu saya bertanya, apa sebenarnya tujuan Cik Habsah ingin bincang dengan saya?.
"Sambil mengeluarkan sesuatu dari tas tangannya, dia menghulurkan sekeping gambar. Melihat gambar itu, sekali lagi saya tergamam.

"Ini gambar isteri arwah saya dan siapa di sebelahnya? Naluri ingin tahu saya melonjak-lonjak. Hilang rasa segan saya dengan wanita yang ada di depan saya itu.
"Saya inginkan kepastian tentang gambar yang dibawa oleh wanita tersebut. Habsah hanya tersenyum dan saya menjadi semakin keliru. Nak bertanya malu tetapi saya menunggu dia bertindak dahulu.

"Sebenarnya yang di sebelah isteri En. Zamri itu adalah saya. Kami sebenarnya bersaudara. Arwah Hasni adalah kakak saya. Kami berpisah ketika masih kanak-kanak.

"Malah kami tidak pernah berjumpa setelah itu kerana saya berhijrah ke luar negara, belajar dan bekerja di sana. Hinggalah saya dapat tahu dia bernikah dengan En. Zamri dan meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya.

"Ya Allah kecilnya dunia. Tanpa ragu-ragu, saya terus mempelawa Habsah ke rumah untuk berkenalan lebih jauh dan mendengar cerita mengenai perpisahannya dengan arwah isteri saya. Pelawaan saya diterima dengan baik oleh Habsah.

"Saya menghubungi emak dan memberitahu ada tetamu istimewa yang akan bertandang. Dalam hati, saya macam-macam perkara yang saya fikirkan. Tentang ibu, Azman dan arwah isteri saya.

"Sampai sahaja di rumah, kami memberi salam dan emak muncul di hadapan kami, langkahnya tiba-tiba terhenti apabila melihat Habsah. Dia meluru memeluk erat Habsah sambil menangis.

"Saya berhenti melangkah, apa ceritanya pula ni? Ada drama lagi ke? Hati bertanya-tanya. Dapat ke surat yang mak cik kirimkan tu? Saya dengar ibu bertanya Habsah.

"Ya... dapat dengan gambarnya sekali. Habsah dilihat mengesat air matanya berulang kali sambil terus memeluk ibu. Saya semakin hairan dengan insiden ini tetapi tidak bertanya banyak kerana mahu mendengar sendiri cerita daripada ibu.

"Sewaktu makan malam bersama keluarga, emak menceritakan kepada saya Habsah adalah anak angkatnya.
"Semasa saya berkahwin dengan arwah isteri, saya tidak tahu dia ada adik. Malah ibu saya juga tidak tahu arwah menantunya dan Habsah adalah darah daging.

"Kini saya mulai faham mengapa emak begitu mesra dengan Habsah dan menangis bila bertemu wanita itu. Ibu mendapat tahu tentang perkara ini setelah Habsah mengirimkan gambar meminta ibu mencari kakaknya yang telah lama tidak ditemui.

"Rupa-rupanya kakak yang dicari itu adalah arwah isteri saya. Semuanya terbongkar setelah gambar itu sampai ke tangan ibu, tetapi ibu sengaja rahsiakan daripada saya dan meminta Habsah sendiri berjumpa saya untuk bercerita hal sebenar.

"Padanlah Habsah yang mencari saya, rupanya ibu turut memainkan peranan. Kehadiran Habsah telah menceriakan rumah kami dan anak saya Azman sangat gembira dengan pertemuan ini. Mungkin sebab wajah Habsah ada iras arwah ibunya.

"Sepanjang tempoh itu, saya memerhati tingkah laku Habsah dan kemesraannya dengan ibu dan anak saya. Cuma saya tidak tahu sama ada dia masih solo atau sudah menjadi hak orang. Ibu tersenyum menyindir apabila dia beritahu saya, Habsah masih belum berkahwin sehingga sekarang.

"Jawapan ibu menjadikan saya tersenyum sendiri. Peluang saya terbuka luas. Selang beberapa hari, saya memberitahu emak bahawa saya telah menemui bakal calon pengganti arwah isteri.

"Ibu amat gembira dengan berita tersebut walaupun dia tidak tahu siapa. Dia teruja untuk bertemu dengan bakal calon menantunya.

"Satu hari, saya sengaja mengajak Habsah keluar membeli-belah bersama anak tunggal saya Azman yang nampaknya mula mesra dengan Habsah.

"Tujuan saya untuk melihat sejauh mana Azman serasi dengan Habsah.

"Ini peluang baik yang saya nantikan. Letih berjalan, kami singgah di sebuah restoran sambil menjamu selera. Secara tiba-tiba anak saya bersuara 'ayah, Man nak minta sesuatu daripada ayah tapi ayah jangan marah tau! Katanya sambil ketawa.

"Sebelum ini, saya tidak pernah menghalang permintaan Azman, kerana dia tidak pernah meminta sesuatu yang ganjil dan menyusahkan saya.

"Cakaplah apa yang Man nak, insya-Allah nanti ayah pertimbangkan. Saya semakin keliru dengan sikap Azman bila dia tersenyum dan tunduk malu. Habsah hanya mendiamkan diri melihat saya melayan Azman dengan mesra sekali.

"Kami berpandangan sesama sendiri bila Azman berkata, ayah kahwinlah dengan makcik Habsah...buat ganti ibu. Malunya saya!

"Ya Allah budak ini, saya terkejut dan merah padam muka menahan malu sementara Habsah tersenyum dan tidak berkata apa-apa. Apa yang saya rancang sama seperti apa yang anak saya impikan.

"Sebenarnya kami tidak pernah berbincang mengenai pengganti ibunya tetapi naluri seorang anak juga amat memahami fitrah seorang ayah yang ingin membina sebuah keluarga yang sempurna dan selesa.

"Ibu amat gembira apabila saya maklumkan berita itu. Seminggu selepas itu, ibu melamar Habsah dan tiga bulan kemudian kami disatukan.

"Terima kasih Man, itu yang saya bisikan kepada anak saya selepas saya dan Habsah selamat dinikahkan. Jika sebelum ini saya bimbang untuk bernikah kerana takut Azman kecil hati, keadaan kini telah menjadi sebaliknya.

"Dia sendiri yang meminta saya mencari pengganti ibunya. Saya amat terharu kerana tidak mudah untuk seorang anak remaja menerima pengganti ibunya.

"Kini, kami bahagia dengan kehadiran orang baru seorang bayi perempuan peneman hidup Azman.
Ibu saya adalah insan yang paling gembira dengan takdir yang sungguh tidak diduga ini.

"Dia bukan sahaja mendapat menantu tetapi juga bertemu kembali dengan anak angkatnya yang telah lama terpisah.

"Inilah yang dikatakan jodoh. Kita hanya merancang, Allah yang jadi penentu. Saya bersyukur kerana diberi peluang kedua untuk beristeri dan mengecap kebahagiaan hidup berkeluarga seperti orang lain.

"Yang paling penting, kebahagiaan Azman yang selama ini hanya menumpang kasih dengan ibu saya. Moga Allah pelihara kebahagiaan hidup kami selamanya. Amin," Zamri menamatkan ceritanya.

Saya setuju dengan kata-kata Zamri bahawa semua itu jodoh yang ditentukan oleh Allah SWT.

Itulah rahsia Allah untuk hamba-Nya. Zamri telah dikurniakan seorang isteri yang baik dengan restu ibu dan anaknya. Apa lagi yang diharapkan oleh seorang lelaki melainkan kebahagiaan seperti ini.

Salam.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20131026/ke_02/Sekeping-gambar-temukan-jodoh-saya#ixzz2ivcE0zKr 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Konservasi nyawa artifak

BUKAN sekadar objek peninggalan zaman lampau yang disimpan sebagai koleksi, artifak sebenarnya memainkan peranan yang cukup kritikal dalam membuktikan sesuatu sejarah.

Tanpa artifak yang berperanan sebagai rujukan, perkembangan tamadun masa lalu tidak mungkin dapat dihurai secara sahih dan tepat.

Sebagai bukti sejarah terpenting, pengumpulan artifak sama ada berbentuk peralatan, pakaian dan penemuan arkeologi memerlukan penyelidikan dan pemuliharaan yang rumit dan terperinci.

Tanpa usaha itu, artifak terdedah kepada pelbagai faktor yang boleh menyebabkan kemerosotan bahkan dalam sesetengah kes menyebabkan kemusnahan.

Justeru, proses pemuliharaan atau konservasi merupakan 'nyawa' dalam penjagaan artifak muzium daripada unsur-unsur yang boleh menjejaskan sesuatu bahan.

Ketua Penolong Pengarah Pusat Konservasi Muzium Negara, Zamrul Amri berkata, tanggungjawab konservasi adalah untuk memastikan setiap koleksi berada dalam keadaan baik dan terpelihara.

Dalam merealisasikan matlamat itu katanya, setiap konservator memikul tanggungjawab yang penting seperti tugas seorang doktor yang merawat pesakit.

"Menjaga artifak tidak ubah seperti menjaga pesakit. Proses biasanya bermula dengan diagnosis secara terperinci terhadap bahan.

"Kalau parah kita akan masukkan ke unit 'ICU' untuk rawatan lanjut," katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.

Zamrul berkata, proses konservasi koleksi muzium sama ada bagi tujuan penyimpanan, dokumentasi atau pameran dilakukan melalui penganalisaan, penyelidikan, rawatan dan pemeliharaan.

Katanya, pendedahan berterusan terhadap unsur persekitaran yang memberi tindakbalas seperti habuk, minyak, gas dan juga serangga merupakan sebahagian daripada ancaman yang memendekkan jangka hayat sesuatu artifak.

"Berbanding 20 tahun lalu, kaedah konservasi moden kini dilakukan secara lebih saintifik termasuk pemantauan sistem kawalan suhu, kelembapan, pencahayaan dan makhluk perosak,'' katanya

Selain konservasi, unit beliau juga bertanggungjawab dalam kerja-kerja restorasi bagi mengembalikan sesuatu artifak kepada keadaan asal dengan menggunakan bahan yang hampir sama.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131019/re_11/Konservasi-nyawa-artifak#ixzz2ivb0oz37 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tidak kekal dalam stor selamanya

ARTIFAK di dalam stor penyimpanan Unit Repositori Muzium Negara akan dipamer kepada umum secara berperingkat-peringkat.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Datuk Ibrahim Ismail berkata, pameran artifak-artifak kebudayaan itu akan diadakan melalui penganjuran pameran yang bersifat sementara dan bertema sebagai usaha memeriahkan pameran Muzium Negara.

Ibrahim berkata, pihaknya tidak bercadang untuk menyimpan artifak yang jarang dipamerkan itu selamanya di dalam stor kerana setiap satu daripadanya mempunyai tarikan tersendiri.

"Sebahagian artifak dari stor simpanan muzium itu akan dipamerkan, cuma untuk menghimpunkan kesemuanya dalam Muzium Negara agak mustahil.

"Justeru kita akan adakan pameran sementara mengikut tema-tema tertentu sebagai nilai tambah kepada pameran kekal yang sedia ada,'' katanya.

Salah satu daripada usaha yang sedang dalam perancangan Jabatan Muzium katanya adalah untuk mengadakan pameran senjata tradisional yang dijangka diadakan tahun depan.

"Penganjuran pameran mengikut tema adalah medium terbaik untuk kita pamer artifak yang selama ini tidak pernah diketahui kewujudannya.

"Pada masa-masa lalu, pameran seperti itu terbukti menarik minat pengunjung untuk melawat muzium secara berulang-ulang.

"Sebelum ini, kita sudah buat pameran hantu, keranda dan topeng yang mendapat sambutan luar biasa,'' katanya.

Mengulas mengenai koleksi artifak simpanan yang jarang dipamerkan itu, Ibrahim berkata, dalam konteks pemuziuman, artifak yang berada di dalam stor simpanan tidak bererti akan terus kekal di situ.

"Ada beza antara artifak untuk pameran tetap dengan pameran sementara.

"Tidak semua artifak sesuai untuk pameran harian kerana ada juga yang disimpan untuk pameran waktu-waktu tertentu,'' katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131019/re_10/Tidak-kekal-dalam-stor-selamanya#ixzz2ivanS9s0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Cabaran urus koleksi 'keras'


MOHD. Razaimi Hamat memeriksa sebahagian daripada ribuan koleksi senjata tradisional.

SEBAGAI premis penyimpanan pelbagai artifak kuno dan tradisional, Muzium Negara seperti kebanyakan muzium di dunia tidak dapat dipisahkan dengan kisah misteri dan menyeramkan.

Bahkan dalam kalangan masyarakat negara ini sendiri, muzium yang menjadi peti simpanan barang-barang lama sering dikaitkan sebagai tempat 'kediaman' semangat dan roh dari zaman lampau.

Pendaftar Bahagian Pendaftaran Muzium Negara, Mohd. Razaimi Hamat berkata, pengalaman berkhidmat di muzium seumpama bertugas di jabatan yang mempunyai dua bahagian iaitu alam nyata dan alam ghaib.

"Bukan terlalu mahu mempercayai kewujudan alam satu lagi, tetapi saya akui sebahagian artifak di sini berkait rapat dengan amalan mistik yang suatu ketika dahulu sebati dalam budaya masyarakat kita.

"Selain berinteraksi dengan manusia, kami di Jabatan Muzium juga kerap 'berurusan' dengan perkara-perkara misteri yang sukar untuk dibuktikan secara saintifik," katanya.

Walaupun tidak pernah mengalaminya sendiri, Mohd. Razaimi mengakui kerap berdepan dengan situasi yang jelas membuktikan kepercayaan serta amalan mistik menebal dalam budaya masyarakat negara ini.

Beliau yang bertanggungjawab menguruskan perolehan artifak di Muzium Negara berkata, kebanyakan daripada artifak yang sering dikaitkan dengan kisah-kisah mistik adalah peralatan seperti senjata dan alat muzik yang sering digunakan sebagai alat pemujaan dan pembunuhan.

"Sebab itulah dalam urusan untuk mendapatkan sesuatu artifak, kami kena jaga banyak adab dan pantang larang.

"Ada masanya kami rasa cukup cemas untuk menerima sesuatu artifak kerana latar belakangnya yang agak 'keras','' katanya.

Salah satu daripada pengalaman yang tidak mungkin dilupakan beliau adalah semasa menguruskan penerimaan 'anak kerak' untuk dijadikan salah satu daripada daya tarikan Pameran Hantu pada 2002 dari Selatan Thailand.

Menurutnya, anak kerak merupakan janin bayi lelaki yang dikeringkan untuk diguna dalam amalan memuja dan melakukan santau.

Katanya, kejadian seram tersebut dialami oleh beberapa kakitangan Muzium Kelantan yang ditugaskan membawa artifak berkenaan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur.

"Dalam perjalanan itu, kereta yang dipandu mereka jadi berat seolah-olah membawa terlebih muatan, sedangkan 'anak kerak' yang dibawa hanya seperti ikan kering sahaja.

"Ada yang dicuit di telinga dan kepala. Apabila sampai di Muzium Negara pada malam itu mereka tidak dapat melelapkan mata sepanjang malam," katanya.

Mohd. Razaimi memberitahu, sepanjang Pameran Hantu diadakan, pihaknya bertanggungjawab mengumpul seberapa banyak artifak dan peralatan yang mempunyai kaitan dengan hantu.

Dalam kes anak kerak itu ujarnya, pemilik artifak yang dibungkus di dalam kain kuning menetapkan syarat-syarat yang amat khusus kepada pihak muzium dalam penjagaannya.

"Bagi memastikan anak kerak tidak buat kerenah, kita kena sediakan tempat tidur seperti katil, tilam dan buai. Semuanya bersaiz kecil

"Di dalam 'bilik' kecil itu juga, kita kena masukkan semangkuk susu setiap hari sebagai minuman untuk anak kerak.

"Seingat saya ramai juga pelawat yang diserang histeria sepanjang Pameran Hantu pada 2002," katanya.
Mohd. Razaimi berkata, pihaknya juga pernah menerima keranda yang digunakan sebagai tempat pengkebumian masyarakat pribumi Sarawak.

Selain itu, beberapa peralatan dan pakaian yang digunakan untuk persembahan Mak Yong dan Main Puteri yang popular di Kelantan dan Terengganu juga merupakan sebahagian daripada koleksi-koleksi 'keras' di Muzium Negara.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131019/re_09/Cabaran-urus-koleksi-keras#ixzz2ivaJ6AEI 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Artifak jadi 'tawar' dalam stor


ARTIFAK-artifak yang sudah pecah dan musnah dapat dipulihkan semula.

WALAUPUN sering berdepan dengan perolehan artifak yang dianggap 'keras' dan berpenunggu, kakitangan Unit Repositori Muzium Negara seakan-akan sudah kalis dengan tugasan harian mereka.

Saban hari, tanggungjawab pengurusan yang memerlukan mereka menyentuh dan menyusun artifak baharu yang didaftar masuk langsung tidak menimbulkan rasa cemas dan takut.

Alah bisa tegal biasa. Itulah jawapan yang diberikan oleh kebanyakan mereka apabila ditanya tentang perasaan bertugas di bilik-bilik yang dipenuhi artifak kebudayaan yang penuh misteri.

Kakitangan Unit Repositori, Suhaimi Osman berkata, pengalaman ketika mula-mula bertugas di situ memang menyeramkan, namun lama-kelamaan tugas itu menjadi kebiasaan.

Beliau berkata, kebanyakan kakitangan di situ tidak begitu memikirkan kisah-kisah mistik dan misteri kerana percaya barang-barang yang dianggap keras akan menjadi 'tawar' sebaik sahaja dimasukkan ke stor itu.
"Itulah antara nasihat yang sering diperkatakan oleh orang-orang lama kepada setiap pekerja yang baharu ditugaskan ke sini.

"Walaupun tidak dapat dibuktikan kebenarannya, dakwaan itu seakan-akan benar. Sekeras mana pun barang yang dibawa masuk, ia pasti menjadi 'tawar'.

"Mungkin sebab terlalu banyak penunggu di sini. Jadi, masing-masing tidak berani buat perangai," seloroh beliau yang sudah 11 tahun bertugas di unit itu.

Sebagai orang yang bertanggungjawab menguruskan keluar masuk artifak sewaktu penganjuran pameran, tuntutan kerja kadang-kala menuntut Suhaimi bekerja sehingga tengah malam.

Beliau berkata, pengalaman menyelongkar artifak di situ pada waktu malam memang lebih menyeramkan, namun beliau tidak pernah terserempak dengan sebarang jelmaan yang menakutkan.

"Mungkin juga 'penghuni-penghuni' di sini sudah lama kenal saya,'' tambahnya.

Bagaimanapun Suhaimi mengakui pengalaman memindahkan rangka manusia prasejarah dari Gua Bewah Terengganu pada lewat tengah malam cukup menyeramkan.

"Malam itu, saya tidak nampak apa-apa cuma rasa seperti diperhatikan oleh seseorang dari jarak dekat. Mungkin ia hanya perasaan saya,'' katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131019/re_08/Artifak-jadi-tawar-dalam-stor#ixzz2ivZswVAj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Khazanah warisan ribuan tahun

Arkib : 27 Oktober 2013


ALAT-alat muzik tradisional yang tersimpan di Muzium Negara.

PENGALAMAN melangkah masuk ke dalam stor penyimpanan artifak Muzium Negara baru-baru ini seumpama memasuki gua yang dipenuhi dengan harta karun.

Bukan sahaja terpegun melihat susunan artifak yang memenuhi segenap ruang tetapi kesempatan itu dirasakan amat istimewa kerana tidak ramai yang mendapat peluang melepasi bilik kebal tersebut.

Stor penyimpanan yang terletak di Unit Repositori Muzium Negara merupakan lokasi penyimpanan koleksi artifak milik Jabatan Muzium yang jarang dipamerkan di galeri umum Muzium Negara.

Hanya sebahagian kecil daripadanya pernah dipertontonkan melalui penganjuran pameran-pameran khas yang biasanya diadakan secara bertema dan sementara.

Lebih mengagumkan, jika dibanding dengan jumlah artifak yang dipamerkan di galeri Muzium Negara, jumlah artifak tersimpan di stor berkenaan dianggarkan 10 kali ganda lebih besar.

Meskipun tidak mempunyai nilai sejarah yang sehebat artifak-artifak penting di galeri Muzium Negara, koleksi yang ada di bilik berkenaan tetap mempunyai keunikan tersendiri.

Unit Repositori yang dikawal ketat itu dibahagikan kepada empat kategori mengikut jenis artifak iaitu peralatan senjata, alat muzik, tekstil dan seramik.

Pengembaraan penulis di bilik yang dipenuhi khazanah warisan ribuan tahun itu bermula di stor penyimpanan senjata yang menempatkan keris, pedang, tombak dan pelbagai kelengkapan peperangan.

Ditemani Penolong Kurator Kanan unit itu, Suriati Sulong dan Baharom Ahmad, saya menyelak pintu besi bilik untuk melihat apa yang sedang menanti di dalamnya.

Di suatu sudut, Baharom gigih menanggalkan sarung beberapa bilah keris untuk mengecam artifak kegemarannya.

Tidak lama kemudian, beliau mengeluarkan sebilah keris sepanjang kira-kira setengah meter dari bahagian paling atas almari.

Keris lurus seperti pedang itu adalah Keris Penyalang yang digunakan sebagai senjata untuk menyula pesalah-pesalah pada zaman dahulu.

"Walaupun keris ini sudah berusia ratusan tahun tapi kesan karat darah masih ada. Tanda keris ini pernah 'digunakan'.

"Selain Keris Penyalang, ada lagi beberapa keris yang tersimpan di sini dipercayai pernah digunakan dalam ilmu keris terbang," katanya.

Saya turut berkesempatan melihat sebatang tongkat kayu bertatih gading dengan ukiran bermotifkan bunga berwarna emas.

Tongkat yang disimpan di dalam bilik kebal itu tidak lain tidak bukan adalah milik Residen Inggeris pertama, Sir Frank Swettenham yang dipulangkan semula ke negara ini pada 1971.

Pada kesempatan itu juga, saya diberi kesempatan menatap kehalusan sehelai kain dengan hasil tenunan yang cukup luar biasa.

Kain berwarna hijau dan merah yang bertulis ayat suci al-Quran itu adalah kain limar berayat yang berusia ratusan tahun. Tidak diketahui siapa pemilik asalnya namun dikatakan antara koleksi tekstil Melayu yang sangat sukar diperolehi.

Diperbuat daripada sutera dan benang emas, kain limar digunakan sebagai kain penutup keranda khususnya dalam kalangan masyarakat Pantai Timur.

Selain kain limar, sehelai kain cindai yang sedang dalam proses pemuliharaan semula dibentang di atas salah satu meja. Kain cindai yang popular sekitar kurun ke-18 itu diguna sebagai bengkung atau perisai bagi menghalang tusukan senjata tajam.

Pada hari kedua, kunjungan saya ke stor alat muzik ditemani Pendaftar Bahagian Pendaftaran Muzium Negara, Mohd. Razaimi Hamat yang menunjukkan koleksi alat muzik yang amat jarang ditemui.
Mohd. Razaimi merupakan individu yang bertanggungjawab dalam urusan perolehan dan pendaftaran setiap artifak di Muzium Negara.

Beliau berkata, Muzium Negara mempunyai 420,665 artifak namun hanya kira-kira 3,000 berada di ruang pameran.

"Selain ruang pameran yang terhad, pihak muzium mempunyai sebab-sebab lain untuk tidak mempamerkan artifak berkenaan.

"Sebahagian daripadanya ada yang pernah dipamerkan pada pameran-pameran sementara dan bertema,'' katanya.

Bagaimanapun katanya, sepanjang proses perolehan sesuatu artifak, pihak muzium berdepan pelbagai cabaran terutama dalam menentukan keaslian sesuatu artifak.

Salah satu daripada langkah terpenting adalah melalui penyiasatan secara terperinci khususnya terhadap maklumat yang diterima.

"Kita tidak boleh membuat pembelian atau penerimaan secara sembarangan kerana pendaftaran artifak juga perlu mengambil kira maklumat dan fakta yang betul.

"Selain penyelidikan, kita juga menggunakan khidmat pihak ketiga yang pakar dalam sesuatu bidang,'' katanya.


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

ILMU TEMPUR PARANG TERBANG

Rahsia bilik kebal Muzium Negara

KHAZANAH SEBAHAGIAN artifak berharga negara yang disimpan di bilik kebal Muzium Negara, Kuala Lumpur.

EMPAT galeri utama yang memaparkan sejarah negara ini sejak dari zaman prasejarah sehingga sekarang pasti memukau setiap pelawat yang bertandang ke Muzium Negara. Manusia Perak, Gendang Dong Son, patung Bodhisattva, bukti peninggalan penjajahan dan pencapaian-pencapaian terhebat yang dicapai negara ini merupakan antara artifak-artifak terpenting yang menghiasi galeri pameran.

Dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong ketiga, Tuanku Syed Putra Al-Haj Almarhum Syed Hassan Jamalullail pada 1963, Muzium Negara merupakan gedung khazanah sejarah terbesar negara yang mempamer kira-kira 4,000 artifak.

Namun di sebalik apa yang dipamer di galeri utama A, B, C dan D, Jabatan Muzium Malaysia sebenarnya menyimpan ratusan ribu artifak yang amat jarang dipertonton kepada umum.

Selain ruang pameran yang terhad, sebahagian daripadanya adalah barangan yang disimpan kerana mempunyai nilai terlalu tinggi, tidak mempunyai maklumat lengkap dan juga item yang berulang dalam kategorinya.

Wartawan S2, ABD. HALIM HADI bersama jurugambar ZAKARIA IDRIS, MOHD AZIM ABD RAHMAN dan RUSHDI SALLEH baru-baru ini berpeluang ‘menyelongkar’ stor penyimpanan artifak Muzium Negara yang menempatkan pelbagai warisan kebudayaan masyarakat pelbagai kaum negara ini.

Selain melihat himpunan artifak yang hanya dipamerkan pada pameran-pameran khas, peluang berada di dalam bilik kebal Muzium Negara itu sedikit sebanyak turut mengundang perasaan 'gelisah' dan seram.
Seram apabila memikirkan kisah-kisah mistik dan misteri yang sering dikaitkan dengan barang-barang lama. Apatah lagi berada di bilik yang dipenuhi dengan ribuan senjata dan alat muzik lama yang sebahagiannya pernah digunakan dalam aktiviti pemujaan dan pembunuhan.

Setiap satu daripadanya mempunyai cerita dan asal usul yang tersendiri. Sebahagian daripada pengalaman itu sempat diceritakan semula seperti di dalam laporan kali ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131019/re_06/Rahsia-bilik-kebal-Muzium-Negara#ixzz2ivYtk2uE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Usikan sedarkan umat Islam di Malaysia


KEPUTUSAN Hakim Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan pihak Kristian menggunakan kalimah Allah semestinya dipuji.

Kebangkitan umat Islam di Malaysia membantah usaha pihak Kristian meliberalkan kalimah Allah jelas menunjukkan kesatuan mereka yang sepatutnya berlaku sejak lama dahulu. Secara positifnya, cetusan isu ini boleh disifatkan sebagai wake-up call kepada umat Islam di Malaysia agar lebih bersatu untuk menjaga kepentingan agama mereka.

Pada pandangan mata kasar, tindakan mempertikaikan penggunaan kalimah Allah hanya untuk orang Islam sebenarnya suatu contoh provokasi agama dan manifestasi tidak berterima kasih di atas toleransi umat Islam di Malaysia sejak sekian lama yang tidak pernah menganggu gugat ajaran agama lain.

Apa gunanya mereka berjaya mengambil kalimah Allah untuk diliberalkan di atas nama Tuhan mereka, sekiranya musibah dan mudarat jangka masa panjang lebih teruk bakal menimpa.

Kita tidak mahu, sikap sedemikian menjadi pencetus kepada gejala ekstremisme agama yang baru di Malaysia seperti mana yang berlaku di Negara luar. Apabila isu agama tercetus, kekerasan yang menjadi pilihan. Akibatnya dendam atau konflik agama tidak mampu sama sekali untuk dipadam.

Bagaimanapun umat Islam Malaysia tidak perlu hanya bersorak girang kerana berjaya mempertahankan kalimah tersebut tanpa mengenal siapakah sebenar Allah yang mereka sembah. Kalimah Allah yang mereka imani bukan sekadar tulisan khat penghias dinding rumah yang diletak seiring dengan kalimah Muhammad, bahkan mempunyai tuntutan tertentu yang lebih utama iaitu untuk benar-benar mengenal Allah sebagai Tuhan mereka sebagaimana yang terkandung di dalam Surah al-Ikhlas bermaksud:

"Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa (Satu), "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; "Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; "Dan tidak ada sesiapa pun yang serupa (setanding) dengan-Nya" (al-Ikhlas[112:1-4])"

Apa gunanya memenangi kalimah Allah di mahkamah sekiranya Melayu Islam masih menjuarai statistik rasuah, gejala sosial, budaya tahyul, khurafat dan sebagainya seolah-olah mereka tidak langsung bertuhan atau mengenali Allah sebagaimana yang diseru oleh surah al-Ikhlas tersebut.

Lihat sahaja umat Islam di Barat atau negara minoriti Muslim, mereka tidak pernah memiliki hak eksklusif terhadap kalimah Allah tetapi saban hari mereka berjaya menarik golongan bukan Islam kepada bertuhankan Allah dengan sebenar-benarnya. Mereka juga memiliki kekuatan akidah Tauhid luar biasa yang didorong oleh pengenalan yang teguh terhadap Allah, Tuhan semesta alam.

Kadang kala sebarang keistimewaan yang dimiliki hanya akan terasa kehilangannya setelah ia dicabar atau tercabut status keistimewaannya. Sebenarnya semua peristiwa yang berlaku pada hari ini yang melibatkan cabaran penggunaan kalimah Allah mempunyai hikmahnya yang tersendiri atau sudut positif yang tidak disedari ramai. Renungkan firman Allah SWT bermaksud:

"Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, Dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya (al-Baqarah [2:216])".

Umat Islam di Malaysia sepatutnya bersyukur kerana mereka memiliki undang-undang dan kuasa untuk mempertahankan kalimah serta ketuhanan Allah sejak sekian lama.

Namun begitu, keistimewaan ini kadang kala menyebabkan mereka terleka sebegitu jauh sehingga melupai hak Allah yang perlu ditunai seperti menjalankan suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Sepatutnya kelebihan ini menjadikan umat Islam di Malaysia semakin kuat dan penyebab kepada pengukuhan Islam pada semua peringkat.

Perlu diingat semua termasuklah golongan bukan Islam yang galak mahu menggunakan kalimah Allah untuk agama mereka, ajaran mereka sama sekali tidak dapat menandingi ajaran Islam yang dijamin Allah sebagai syariat untuk semua umat manusia. Firman Allah SWT:

"Dan bandingan Kalimah yang jahat dan buruk (yang terkandung di dalam intisari agama syirik) samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup (Ibrahim[14.26])."

Manakala perumpamaan kalimah Allah yang terkandung dalam intisari Tauhid Islam diumpamakan sedemikian:

"Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik (Ketuhanan Allah di dalam intisari Tauhid) adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran) (Ibrahim [14:24-25])."

Ayat di atas mengumpamakan kalimah Allah dan Tauhid yang terkandung dalam ajaran Islam seumpama benih yang baik dan mampu tumbuh subur di mana sahaja jika dibajai oleh ilmu dan kefahaman.

Proses undang-undang hanyalah pagar yang menghalang pencerobohan anasir luar. Aspek perumpamaan pagar undang-undang dan benih Islam sudah lama dimiliki oleh umat Islam di Malaysia.

Namun aspek perumpamaan baja ilmu dan kefahaman masih kurang yang mengakibatkan pokok ini (Islam) tumbuh secara sengsara dan menyebabkan banyak buah-buah serta ranting-rantingnya patah dan gugur tanpa boleh dimanfaat semua. Buktinya seperti mana yang telah disebut, Melayu Islam masih menjadi juara segala masalah di Malaysia.

Oleh itu, langkah terbaik untuk mengukuhkan Islam di Malaysia ialah dengan mengukuhkan benih itu dengan ilmu dan pengisian serta pengukuhan pagar dan undang-undang.

Sekiranya pagar tersebut secara berterusan cuba dicerobohi oleh anasir luar seperti yang berlaku sekarang, kita tidak perlu risau kerana pokok Islam sudah teguh berdiri dan kalis serangan.

Ini kerana sistem pembajaan yang baik serta mampu menghasilkan buah-buah yang baik serta melahirkan lebih banyak benih Islam yang berguna kepada semua termasuklah golongan bukan Islam.

Boleh jadi anasir luar yang cuba merosak pagar itu akan bertukar menjadi teman sekiranya mereka berjaya melihat faedah di sebalik pokok Islam yang indah itu sebagaimana yang telah berlaku di zaman Rasulullah di Madinah dahulu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131019/re_03/Usikan-sedarkan-umat-Islam--di-Malaysia#ixzz2ivXH2Z4B
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Fahami keputusan kalimah Allah

Oleh Salleh Buang
PENULIS ialah penganalisis undang-undang.



Barisan peguam bela mengadakan sujud syukur selepas Mahkamah Rayuan memutuskan kalimah Allah tidak boleh digunakan di dalam The Catholic Weekly. Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Mohamed Apandi Ali memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan kerajaan. - UTUSAN/Zaki Amiruddin

Dalam kes Menteri Dalam Negeri & 8 yang lain lwn Titular Roman Catholic Archbishop Kuala Lumpur (Rayuan Sivil No. W-01-1-2010), Mahkamah Rayuan telah menyatakan, dalam satu dokumen 4 muka surat bertajuk "Ringkasan Keputusan" (Summary of Decision) bertarikh 14 Oktober 2013, ditandatangani oleh Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, bahawa kes ini adalah satu rayuan daripada keputusan Mahkamah Tinggi ekoran satu permohonan semakan kehakiman mengenai satu syarat yang telah dikenakan oleh Menteri Dalam Negeri dalam permit penerbitan The Catholic Weekly.

Syarat yang telah dipertikai oleh Roman Catholic Archbishop itu adalah larangan menggunakan kalimah "Allah" dalam penerbitan itu. Dalam keputusan Mahkamah Tinggi di akhir pendengaran semakan kehakiman itu, Hakim telah membenarkan permohonan Archbishop.

Intipatinya, Hakim Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa Menteri Dalam Negeri tidak boleh mengenakan syarat yang dipertikai itu. Ini bermakna penerbitan The Catholic Weekly itu boleh menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

Terkilan dengan keputusan Mahkamah Tinggi itu, Menteri Dalam Negeri dan lapan pihak lain (termasuk Kerajaan Malaysia, Majlis Agama Islam beberapa negeri dan Persatuan Muslim Cina Malaysia) telah merayu ke Mahkamah Rayuan. Di akhir pendengaran rayuan ini, Mahkamah Rayuan telah membenarkan rayuan perayu.

Intipatinya, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa syarat yang dikenakan oleh Menteri Dalam Negeri itu adalah sah, dan oleh itu kalimah "Allah" tidak boleh digunakan dalam penerbitan The Catholic Weekly.
Di bawah sistem kehakiman negara, pihak yang masih terkilan di peringkat rayuan kali pertama masih boleh lagi membuat rayuan kali kedua ke mahkamah yang lebih atas, tetapi ini bergantung kepada "izin" (leave) diperolehi daripada mahkamah yang di atas itu (iaitu dalam kes ini, izin atau kebenaran Mahkamah Persekutuan).

Andainya Mahkamah Perekutuan memberi izin dan bersedia mendengar rayuan daripada Archbishop, kes ini akan sekali lagi didengar di mahkamah. Tidak siapa boleh meramalkan bagaimana Mahkamah Persekutuan akan memutuskan kes ini nanti.

Jika izin untuk merayu kali kedua tidak diberi, kes ini berakhir di sini sahaja.

Hakim Mohamad Apandi menyatakan, dalam Ringkasan Keputusan tersebut, bahawa undang-undang semakan kehakiman di negara ini sudah jelas. Katanya lagi ada tiga kategori kes di mana satu keputusan pentadbiran (administrative decision) itu boleh disemak oleh mahkamah iaitu bila berlaku illegality, irrationality and procedural impropriety.

Maksudnya satu keputusan yang dibuat oleh seorang Menteri itu boleh disemak oleh mahkamah sekiranya ia didapati menyalahi undang-undang, tidak rasional (dalam bahasa mudah, tidak masuk akal), dan sekiranya ia menyalahi prosedur yang ditetapkan.

Setelah meneliti fakta kes dan mendengar hujah pihak-pihak berkenaan, Hakim Apandi menyatakan bahawa Mahkamah Rayuan mendapati Menteri telah bertindak dengan betul, dan tidak ada asas atau sebab mahkamah perlu menggugat atau campur tangan dengan keputusan yang dibuat olehnya ("It is our considered finding that the Minister has not acted in any manner or way that merit judicial interference on his impugned decision.")

Hakim Mohamad Apandi juga menyatakan bahawa kalimah "Allah" bukan satu bahagian dalaman yang penting bagi kepercayaan dan amalan orang Kristian" (not an integral part of the faith and practice of Christianity.")

Berasaskan keterangan yang dikemukakan, Mahkamah Rayuan berpuas hati bahawa Menteri Dalam Negeri telah menjalankan tugasnya dan melaksanakan kuasa statutorinya di bawah Akta Percetakan dan Penerbitan 1984 dengan betul, dan oleh itu tidak ada sebab yang munasabah bagi Mahkamah Tinggi menggugat atau campur tangan dengan keputusan Menteri itu ("Thus, there is no plausible reason for the High Court to interfere with the Minister's decision").

Hakim Mohamad Apandi seterusnya menyatakan "penjelasan dan alasan yang lebih terperinci" keputusan Mahkamah Rayuan ini boleh dibaca dalam penghakiman bertulis berasingan yang telah disediakan oleh ketiga-tiga ahli panel mahkamah, iaitu oleh Hakim Datuk Apandi sendiri, Hakim Abdul Aziz Abdul Rahim serta Hakim Mohd Zawai Salleh.

Penghakiman bertulis Hakim Mohamad Apandi adalah setebal 43 muka surat, manakala penghakiman bertulis Hakim Abdul Aziz adalah setebal 34 muka surat, dan penghakiman bertulis Hakim Mohd Zawawi adalah setebal 25 muka surat.

Untuk berlaku adil kepada tiga orang ahli panel Mahkamah Rayuan ini, siapa sahaja yang ingin membuat komen atau memberi pandangan mengenai keputusan mahkamah aras kedua di negara ini hendaklah terlebih dahulu membaca sepenuhnya dengan teliti, sambil berlapang lada dan dengan minda terbuka.

Pendek kata, bersedialah terlebih dahulu membaca dan menilai penghakiman bertulis setebal 100 muka surat semuanya sebelum cuba memberi sebarang komen anda.

Sahabat sering bertanya kepada saya kenapa saya berkeras sangat menentang kalimah "Allah" digunakan dalam Bible bahasa Melayu. Saya jawab bahawa bagi umat Islam, kita tak perlu pergi jauh; cukup dengan mengingatkan semula Surah al-Ikhlas, ayat pertama yang jelas mengingatkan kita bahawa "Allah itu satu".
Berbeza dengan penganut Agama Kristian - yang mempercayai ada Tuhan, ada anak, dan ada ruhul kuddus (Father, Son, Holy Ghost).

Saya berasa lega bahawa pendekatan yang sama diambil oleh Hakim Mohd Zawawi dalam penghakimannya.
Nampaknya ramai yang masih terus menerus mempertikai keputusan Mahkamah Rayuan ini, termasuklah seorang bekas Menteri. Tak tahulah sama ada pengkritik dan pengulas ini telah pun membaca sepenuhnya teks penghakiman tiga orang Hakim ini ataupun sebaliknya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131019/re_01/Fahami-keputusan-kalimah-Allah#ixzz2ivWanOhe
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...